Watak-watak Utama Gantz

Berikut adalah watak-watak utama yang ditonjolkan dalam siri Gantz. Sila ingat bahawa informasi yang diberikan tidak tertakluk kepada siri animenya sahaja, tetapi secara keseluruhannya, termasuklah siri manganya juga.

Kei Kuruno

Kei Kurono (玄野 計, Kurono Kei) merupakan watak utama dalam siri Gantz. Dia adalah seorang pelajar sekolah menengah dan secara keseluruhannya merupakan seorang pelajar yang berfikiran negatif, kotor dan tidak berbudi bahasa. Kurono mati dilanggar kereta api bersama-sama dengan rakan lamanya, Katou. Dia menjadi idola rakannya semasa mereka masih kecil dahulu sehinggalah sekarang. Kurono dipandang tinggi oleh pemain-pemain Gantz yang lain kerana keberanian yang ditonjolkannya pada misi-misi yang mereka hadapi. Salah satu niat Kurono yang terpendam adalah untuk mendapatkan Kishimoto ataupun menunjuk-nunjuk akan kehebatannya kerana dia ada hati terhadap Kishimoto. Selepas kematian Katou, Kurono berasa terhutang budi atas pertolongan rakannya itu dan dia pula mula memandang tinggi terhadap Katou. Dalam siri manga Gantz, Kurono berjaya mengumpul 100 mata dan diberi peluang untuk dilepaskan daripada permainan Gantz. Memorinya dilupuskan dan dia kembali hidup seperti biasa. Namun begitu, kehidupannya dibelenggu keresahan akibat perkara-perkara yang tidak dapat diingatinya. Kurono kemudiannya diburu oleh sekumpulan pontianak yang sentiasa memburu pemain-pemain Gantz. Kuruno sempat membunuh hampir kesemua ahli-ahli pontianak tersebut, tetapi akhirnya mati dibunuh salah seorang ketua mereka.

Masaru Katou

Masaru Kato (加藤 勝, Katō Masaru) merupakan salah seorang pelajar sekolah menengah dan rakan lama Kurono, dan seorang lelaki yang memiliki sifat-sifat dan kualiti seorang pemimpin yang mulia. Dia sentiasa berniat untuk membantu yang lain dan berbuat baik. Dia dihantar ke bilik Gantz selepas dilanggar kereta api bersama-sama Kurono selepas pecubaan mereka menyelamatkan seorang pengemis yang jatuh ke atas trek. Pada awal siri Gantz, Katou menjadi seorang pemimpin yang tekun membantu dan memberi arahan terhadap mereka yang masih tidak mengetahui akan permainan Gantz. Pada misi kumpulan Gantz yang ketiga, Katou segera cuba membantu Kurono yang tinggal nyawa-nyawa ikan selepas kehilangan darah akibat tangan dan kakinya yang telah dipotong. Dia hampir berjaya menyelamatkan kawannya selepas mengalahkan makhluk asing yang terakhir pada misi malam tersebut, namun sempat dibunuh lawannya sebelum mereka dihantar pulang ke bilik Gantz. Selang beberapa bulan kemudian, Katou dihidupkan semula oleh salah seorang pemain Gantz di atas permintaan Kurono. Mereka berjumpa kembali untuk beberapa ketika, kemudian Kurono dihantar keluar oleh Gantz apabila dia memilih untuk keluar daripada permainan tersebut. Dalam siri manga Gantz, pada bab-bab yang berikutnya, Katou berhasrat untuk menghidupkan rakannya itu kembali selepas Kurono dibunuh oleh pontianak-pontianak yang baru-baru itu muncul.

Kei Kishimoto

Kei Kishimoto (岸本恵, Kishimoto Kei) merupakan salah seorang daripada mereka yang mati pada malam yang sama dengan Kurono dan Katou selepas menghiris pergelangan tangannya, percubaan untuk membunuh diri semasa mandi. Apabila Kishimoto dihantar oleh Gantz ke bilik itu, dia dihantar tanpa pakaian dan berbaring di atas pangkuan Kurono, berbogel. Kishimoto menaruh perasaan terhadap Katou, walaupun Kurono telah berkali-kali cuba untuk merampasnya daripada Katou. Namun begitu, Katou tidak menyedari akan perasaan Kishimoto, sehinggalah pada misi mereka yang terakhir di mana Katou diselamatkan Kishimoto selepas dia mengorbankan dirinya menyelamatkan diri Katou. Dalam realitinya, Kishimoto berjaya diselamatkan di dunia benar, dan ini telah memaksa kewujudan dua orang Kishimoto yang berbeza, walaupun mereka pada asalnya wujud sebagai manusia yang sama. Ini merupakan salah satu kesalahan Gantz sendiri yang cuba "meniru" tubuh badan sesorang manusia dan sekaligus menghantar data ini ke permainannya itu. Kishimoto yang sebenar masih hidup, manakala Kishimoto yang "tiruan" itu mati dalam misi mereka yang ketiga.